Luahan Hati sayu tunang Nursyafikah mangsa Tikam Bekas tunang
Kluang – “Nursyafikah wanita pertama hadir dalam hidup saya, tetapi impian kami untuk hidup bersama dimusnahkan pembunuhnya,” kata Mohd Fahmi Muskin, 21, tunang Nursyafikah Ahmad Ismail, 20, yang mati ditikam di tempat letak kenderaan sebuah pasar raya, di sini, Jumaat lalu.
Ketika ditemui semalam, Mohd Fahmi terkilan dengan tragedi yang meragut nyawa tunangnya itu dan amat berharap pembunuhnya ditangkap segera.
Menurut pekerja kilang di Ulu Tiram itu, dia sedih kerana hasrat memperisterikan Nursyafikah yang dijadualkan September ini tidak kesampaian selepas mereka bertunang 15 Februari lalu.
“Walaupun kami baru bertunang kira-kira sebulan lalu, saya mengenali Nursyafikah sejak enam tahun lalu menyebabkan kehilangannya amat dirasai, apatah lagi dia wanita pertama hadir dalam hidup saya.
“Lebih menyedihkan mengenangkan beberapa hari sebelum kejadian, dia meminta saya jangan sesekali meninggalkannya serta kerap meminta dimaafkan jika ada yang menyakitkan hati saya sepanjang perkenalan kami,” katanya ketika dihubungi semalam.
Menurut Mohd Fahmi, dia akan terus berhubung dengan keluarga Nursyafikah sebagai sokongan walaupun antara mereka tiada lagi ikatan kerana tahu betapa mereka kini berada dalam kesedihan.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kluang Asisten Komisioner Mohd Roze Shaary ketika dihubungi semalam berkata, pasukan khas terdiri daripada lapan anggota diketuai Asisten Superintendan Mohamed Sazif Mohamed Subri dari Cawangan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang ditubuhkan bagi menjejaki suspek berumur 20-an itu.
Katanya, gerakan mengesan suspek sedang giat dilakukan termasuk mendapatkan maklumat daripada keluarganya, tetapi sehingga kini belum ada tangkapan dilakukan.
“Polis akan terus mencari suspek menggunakan kepakaran yang kita ada serta mendapatkan bantuan IPD berjiran dan kerjasama masyarakat,” katanya.
Dalam kejadian kira-kira jam 6 petang itu, Nursyafikah, pekerja pasar raya berkenaan maut ditikam di rusuk kirinya menggunakan pisau pemotong sayur oleh suspek. Sebelum kejadian, dipercayai berlaku perbincangan antara mangsa dengan suspek, lapor Harian Metro.