Kemalangan Jatuh Parit Di Terengganu, Tak Siapa Sedar Hilux Terbenam 5 Meter
SEORANG penyelia projek perumahan, Law Ah Kam, 54, ditemui meninggal dunia setelah kenderaan pacuan empat roda miliknya terjunam ke dalam sebatang parit.
Yang memilukan hati, kejadian yang disyaki berlaku kira-kira jam 2 pagi itu hanya disedari pada pukul 9 pagi.
Kemalangan tersebut yang berlaku di kilometer 7, Jalan Dungun-Bukit Besi, Terengganu, tidak disedari ramai kerana kenderaan jenis Toyota Hilux tersebut terbenam kira-kira lima meter di dalam tali air itu.
Menurut Ketua Polis Daerah Dungun, Superitendan Ahmad Zailani Yaakub, kecelakaan dipercayai berlaku setelah kenderaan mangsa terbabas ke kanan jalan sebelum merempuh tembok jambatan dan terjunam ke dalam air.
“Sebelum kejadian, mangsa yang memandu sendirian dikatakan dalam perjalanan pulang ke rumah sewanya di Bukit Besi sekembalinya dari makan malam di Bandar Dungun,” ujar Ahmad Zailani.
Mayat mangsa dibawa ke Hospital Dungun untuk bedah siasat.