Tahukah Anda Keistimewaan POKOK SEMALU Yang Anda Bermain Dengan Daunnya & Benci Kerana Durinya
Tentu anda kenal pokok semalu, yang juga dikenali dengan nama malu-malu, puteri malu, memalu atau nama saintifiknya Mimosa pudica L. dari famili Fabaceae. Perkataan pudica yang diambil dari perkataan latin bermaksud malu atau mengecut yang nama Inggerisnya adalah sensitive plant, sleepy plant atau touch-me-not. Pokok semalu merupakan tumbuhan liar berduri yang dikategorikan sebagai rumpai yang tidak diingini dan boleh didapati tumbuh melata terutamanya tanah lapang atau padang juga ditepi-tepi jalan.
Sifat pokok semalu sangat unik kerana apabila tersentuh, daunnya akan menguncup. Mungkin kerana itu ianya dinamakan semalu atau malu. Selain dari itu pokok semalu bersifat menjalar dan mempunyai duri yang tajam menyebabkan kesakitan atau kecederaan apabila terpijak. Maka itu pokok ini akan segera dibuang jika didapati kawasan lapang terutamanya di halaman rumah atau sepanjang laluan.
Namun begitu secara perubatan tradisional, pokok semalu masih berguna untuk mengubati beberapa penyakit disebabkan kandungan tanin, mimosin dan asam pipekolinat yang terdapat dalam tumbuhan ini.
Air rebusan semalu didapati mampu mencegah dan mengubati hepatitis. Caranya dengan merebus 10 gm pokoknya dan akar yang telah dibersihkan dengan 200 cc air sehingga mendidih selama 15 minit. Hasil rebusan diminum setiap hari. Selain dari itu semalu juga dikatakan boleh mengatasi insomnia, bronkitis dan reumatik.
Dalam aktiviti penyelidikan farmakologi terutama yang menyentuh soal penyakit seperti anti kencing manis, antitoksin, antihepatotoxin, antioksidan dan luka mendapati kandungan alkaloid, glikosida, flavonoid dan tanis dalam pokok semalu ada aktiviti penyembuhan. Ia digunakan dalam menyekat kapha dan pita untuk menyembuhkan luka, darah bergumpal dan masalah kelemahan seksual.
Menurut The International Journal of Pharmaceutical Sciences and Drug Research 2013 yang bertajuk Pharmacology and Traditional Uses of Mimosa pudica, semua bahagian pokok yang dianggap memiliki khasiat ubatan dan boleh digunakan dalam merawat penyakit seperti penyakit hempedu (bilious disorder), kusta, disenteri, masalah faraj dan rahim, radang, keletihan, asma, leucoderma dan penyakit darah.