SEDIH!! Andainya ditakdirkan aku ‘pergi’ malam ini, kamu
semua jangan lupa sedekahkan Al-Fatihah.”
Melaka: “Andainya ditakdirkan aku ‘pergi’ malam ini, kamu semua jangan lupa sedekahkan Al-Fatihah.” Itu pesanan Alif Irfan Jaafar kepada rakannya beberapa jam sebelum dia maut dalam kemalangan di Jalan Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, awal pagi semalam.
Dalam kejadian jam 1.30 pagi itu, Alif Irfan, 21, kakitangan sebuah hotel mati di tempat kejadian selepas tercampak keluar dari Proton Wira dipandunya yang terbalik di satu selekoh.
Dua lagi rakan yang turut berada di dalam kereta itu hanya cedera ringan.
Ibu mangsa, Natijah Abu Hassan, 57, berkata, anak kelima daripada tujuh beradik itu bagaikan dapat menjangka akan pergi buat selamanya apabila sempat berpesan kepada beberapa rakan supaya sedekahkan Al-Fatihah kepadanya semasa mereka berjumpa.
“Sebelum kejadian, Alif Irfan bersama kakaknya keluar berdua. Ketika itu kakaknya perasan Alif Irfan banyak mendiamkan diri dan tidak ceria seperti selalu,” katanya ditemui di lokasi kejadian.
Natijah berkata, dia mengetahui kejadian menimpa anaknya selepas dimaklumkan rakan sekerja.
“Dunia bagaikan gelap seketika apabila rakan sekerja memaklumkan anak kemalangan dan meninggal dunia,” katanya.
Sementara itu, jurucakap polis berkata, ketika kejadian mangsa bersama dua rakan dalam perjalanan dari Jalan MITC ke Lebuh Sungai Udang-Paya Rumput (SPA).
“Sebaik tiba di satu selekoh, mangsa dipercayai gagal mengawal kereta menyebabkan ia terbabas dan terbalik manakala pemandu tercampak keluar,” katanya.
Menurutnya, pemandu meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah di kepala dan badan manakala dua rakannya hanya cedera ringan.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Shaikh Abdul Adzis Shaikh Abdullah berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1)(a) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.