Lelaki Berputih Mata Selepas Mendaftar Untuk Tambah Pendapatan Dirumah
BATU KURAU – Hasrat seorang lelaki menambah pendapatan tidak kesampaian apabila dia mula curiga dengan permohonan pendaftaran yang dibuatnya bagi mendapatkan pekerjaan sambilan di rumah.
Muaz Ramadhan Nor Ahmad, 34, berkata, ketika ini dia hanya bekerja sebagai pekebun dan ingin cuba mencari pekerjaan sampingan bagi menambah sumber pendapatannya.
Menurutnya, kira-kira sebulan lalu, dia terbaca di ruangan iklan sebuah akhbar yang menawarkan pekerjaan sambilan di rumah.
“Selepas meneliti iklan tersebut saya tertarik untuk mencubanya dan kemudian menghantar butiran peribadi melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) pada nombor yang tertera pada iklan tersebut,” katanya kepada Sinar Harian, di sini semalam.
Muaz berkata, tidak lama selepas itu, pihak syarikat berkenaan menghantar beberapa risalah termasuk dengan borang pendaftaran.
“Yuran pendaftaran sebanyak RM65 diperlukan untuk saya memohon pekerjaan ini dan telah dikirim secara wang pos,” katanya.
Mengulas lanjut, Muaz berkata, dia menunggu barang-barang yang dijanjikan tetapi hingga kini tidak diperoleh.
“Beberapa hari lalu, saya menerima satu lagi surat daripada pihak syarikat terbabit yang menghantar beberapa risalah dan borong pendaftaran.
“Ini bermakna saya perlu menghantar satu lagi borang pendaftaran berserta wang,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Muaz berkata, dia berasa tertipu dan menghubungi pihak syarikat terbabit namun tidak berjawab.
“Puas saya telefon, tak ada yang menjawab. Saya agak kecewa dengan perkara ini kerana pada awalnya berharap dengan pekerjaan tersebut saya dapat menambah pendapatan tetapi rupa-rupanya saya tertipu.
“Walaupun jumlah wang tersebut tidak banyak namun, orang lain juga mungkin menghadapi nasib yang sama,” katanya.
Dia menasihatkan orang ramai lebih berhati-hati dalam perkara ini kerana, kini pelbagai cara boleh dilakukan pihak tertentu untuk mengaut keuntungan.
Katanya, iklan pekerjaan tersebut turut menjanjikan gaji sebanyak RM1,000 hingga RM1,400 sebulan.
“Malah dimaklumkan juga pekerjaan ini boleh dilakukan secara sepenuh masa dan separuh masa. Impian tersebut tidak akan menjadi kenyataan kerana syarikat itu sendiri sudah tidak dapat dihubungi.
“Diharap orang ramai berhati-hati dengan iklan-iklan yang disiarkan,” katanya.
-Sinar harian