Remy Ishak Buat Pendedahan Mengejut Punyai 2 anak Angkat Dan Jaga Anak Bersama Kekasih
Tatkala namanya hangat diperkatakan sejak beberapa hari lalu ekoran dakwaan dia membawa pulang kekasihnya ke rumah, pelakon Remy Ishak, 36, yang tenang berdepan isu tersebut membuat satu pendedahan dia sebenarnya mempunyai dua orang anak.
Menjelaskan lebih lanjut hal itu, Remy yang ditemui Malaysian Digest semalam menyatakan dia menjaga dua anak angkat perempuan iaitu Dania berusia 4 tahun dan Damia, 3 tahun.
Kedua-duanya mereka merupakan adik-beradik dan sudah berada di bawah jagaan aktor ini sejak dua tahun lalu.
Menurut Remy, dia terpanggil untuk menjaga dua beradik tersebut bukan kerana terlalu inginkan pengalaman bergelar ayah tetapi lebih kepada mahu berkongsi kasih sayang dengan mereka memandangkan ibu bapa kanak-kanak itu menghadapi konflik dan telah bercerai.
"Bukanlah mahu sangat jadi ayah tetapi sebab saya suka jaga budak-budak. Sebelum ini, saya ada jaga seorang kanak-kanak dan dia pun sudah membesar.
"Sejak saya bertemu Damia dan Dania, kemudian mendapat tahu mereka kurang kasih sayang, saya rasa kanak-kanak sekecil dan secomel mereka layak mendapat kasih sayang.
"Jadi, saya ambil keputusan untuk jaga kebajikan dan berikan mereka kasih sayang. Mereka tinggal dengan saya.
"Saya jaga kebajikan, makan, pakaian dan persekolahan mereka. Apabila ada masa, saya ajar mereka di rumah sebab itu mereka panggil saya cikgu Daud.
"Kalau mereka sakit atau demam, mereka panggil pula saya doktor Kamil.
"Jika saya sibuk dengan kerja atau penggambaran, saya akan hantar mereka ke rumah teman wanita saya. Mereka panggil teman wanita saya dengan panggilan mummy.
"Kami bergilir-gilir menjaga Dania dan Damia," katanya ketika ditemui pada sidang media Santai Lebaran Fiesta 2015 di Istana Budaya, Kuala Lumpur di sini, semalam.
Bikin Peminat Perempuan Cemburu
Dalam pada itu, Remy yang pada mula cuba menyembunyikan rahsia dan identiti sebenar kekasihnya tetapi media menyedari kekasihnya itu berada di acara berkenaan ketika dia ditemubual.
Tidak mampu berdalih lagi, Remy akhirnya mengakui dia sedang menjalin hubungan istimewa sejak setahun lalu dengan wanita tersebut yang di kenali sebagai Roszaliza Yusof.
Katanya, sebelum ini ada dakwaan kononnya kekasihnya itu berstatus ibu tunggal. Bagaimanapun, dia menyifatkan dakwaan tersebut adalah salah faham manakala dua kanak-kanak yang dilihat sering bersama kekasihnya itu adalah Dania dan Damia.
"Itulah, orang salah faham. Sebenarnya kanak-kanak itu adalah anak jagaan kami.
"Saya pun pelik macam-macam gosip termasuk mengatakan saya kaki perempuan dan baru-baru ini timbul semula isu saya bawa balik perempuan ke rumah.
"Sebenarnya, isu itu pernah timbul setahun lalu. Saya rasa kali ini ia dicetuskan oleh orang yang sama.
"Apa yang boleh saya katakan, agaknya peminat saya dalam kalangan perempuan tidak boleh tahu kalau saya ada pasangan, mesti ada saja perkara cerita-cerita sebegitu timbul," katanya sambil tertawa kecil.
Meskipun tidak mahu terlalu ambil pusing akan dakwaan dan khabar angin tersebut, Remy menyatakan ada ketikanya dia memberi komen sebagai respons sekaligus menasihatkan individu yang tidak bertanggungjawab yang menyebarkan gosip itu supaya tidak terus membuat fitnah atau mengadili dirinya.
"Macam isu kononnya saya bawa balik perempuan, saya hairan bagaimana mereka boleh buat certa itu, Mereka tahu ke saya duduk di mana? Atau mereka duduk di sebalik pasu bunga saya sampaikan mereka kononnya tahu semua hal peribadi atau apa yang saya lakukan?," ujarnya dengan nada sinis sebelum meneruskan kata-kata,
"Saya berkawan dengan ramai orang tapi kalau orang nampak keluar dengan orang itu atau orang ini, mereka kata saya kaki perempuan pula.
"Sebab itu untuk mengelak timbulnya cerita macam ni saya lebih suka berkurung di rumah sambil meluangkan masa bersama anak-anak angkat saya. Bimbang nanti kalau keluar bercampur dengan orang, timbul pula cerita saya suka bersosial dan liar.
"Rumah saya kadang-kadang dikunjungi adik beradik saya ataupun apbila saudara mara saya mahu bercuti di Kuala Lumpur, mereka akan tumpang di rumah saya. Mungkin orang nampak ada orang keluar masuk rumah saya walhal itu ahli keluarga saya," jelasnya.
Dalam pada itu, ditanya mengapa dia merahsiakan hubungannya dengan kekasihnya itu yang merupakan Pengarah Urusan jenama fesyen Roistz Labels, Remy menyatakan dia belum bersedia untuk mendedahkan pada umum kerana menyifatkan hubungan mereka masih terlalu awal dan mereka belum ada apa-apa ikatan rasmi.
"Kami masih dalam proses mengenali hati budi masing-masing. Belum ada apa-apa lagi," katanya yang sebelum ini pernah digosipkan bercinta dengan wanita bernama Budi Citawan yang merupakan anak kepada pelakon veteran hebat, Wan Hanafi Su.
Sementara itu, Roszaliza yang sempat ditemubual mengesahkan mereka menjalin hubungan istimewa. Malah, mendedahkan dia dan Remy ada merancang membawa hubungan itu ke gerbang perkahwinan.
"Ya, saya berkawan dengannya. Saya selesa dengan dia dan tidak kisah dengan gosip-gosip yang mengaitkan dirinya. Kami juga pernah berbincang tentang hal itu (kahwin)," katanya.
Bagaimanapun, ketika ditanyakan semula kepada Remy, pelakon itu menyangkal yang akan hal tersebut
"Rancang kahwin? Belum. Belum ada apa-apa perancangan lagi. Kalau pasal perancangan kahwin adik saya adalah. Adik saya akan melangsungkan perkahwinan pada September ini," katanya sambil tersenyum.
- mD