Dalam kejadian kira-kira pukul 4.30 petang itu, Ahmad Razi Harun, 53, dari Ketereh, Kelantan; menantunya, Dayang Suhana, 23, dan anak saudara, Umar Rayyan Suhaimi, 6, serta cucu, Nur Damia Irdiha Rosailan, 1, maut di tempat kejadian selepas kereta Kia Spectra dinaiki mereka terbakar.

Lebih malang, kejadian menya­yat hati itu berlaku semasa kereta yang dinaiki mereka tersadai di lorong kecemasan lebuh raya akibat masalah enjin.
Semasa menunggu ketibaan mekanik, tiba-tiba sebuah treler 16 tan yang datang dari belakang terbabas melanggar besi penghadang jalan lalu merempuh kereta berkenaan.
Rempuhan kuat itu menyebabkan kereta mangsa terseret sejauh 70 meter sebelum terbakar.



Isteri Ahmad Razi, Sharifah Wa­ngai, 49, dan kakaknya, Hafshah, 56, terselamat dalam insiden itu selepas mereka keluar dari kereta tersebut sebelum kejadian.
Bagaimanapun, Hafshah cedera parah di kepala tetapi keadaannya dilaporkan stabil.
Ketua Polis Daerah, Deputi Superitenden Hussin Deraman berkata, kejadian berlaku apabila treler yang dalam perjalanan dari Kuala Terengganu menuju ke Johor Bahru terbabas secara tiba-tiba sebelum merempuh kereta berkenaan.
“Bagaimanapun, pemandu tre­ler yang berusia 35 tahun dan seorang kelindan sempat keluar menyelamatkan diri tanpa mengalami sebarang kecederaan.


“Mereka kini ditahan di lokap Ibu Pejabat Polis (IPD) Hulu Terengganu dan kita akan mendapatkan perintah tahanan reman esok,” katanya ketika dihubungi di sini.
Beliau memberitahu, mayat kesemua mangsa dibawa ke Hospital Hulu Terengganu untuk dibedah siasat manakala mangsa yang cedera dihantar ke hospital sama untuk rawatan.
Dalam pada itu, jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri berkata, seramai 10 anggota dari balai berdekatan dikejarkan ke tempat kejadian sebaik sahaja menerima panggilan berhubung kejadian itu.

Katanya, pemeriksaan lanjut mendapati, kereta yang dinaiki mangsa terbakar sama sekali.
Sementara itu, seorang saksi, Kamaruddin Hazran, 48, memberitahu, sebelum kejadian, dia yang datang dari arah bertentangan memberhentikan kereta untuk bertanyakan keadaan apabila melihat tanda-tanda kereta itu bermasalah.
“Saya nasihatkan mereka keluar, tak boleh duduk dalam kereta kerana agak bahaya. Dua daripada penumpang (Sharifah dan Hafshah) keluar, tiba-tiba saya terdengar bunyi kuat dari arah belakang.

“Saya nampak sebuah treler seakan-akan tak terkawal menuju ke arah saya. Ketika itu, saya sempat tarik salah seorang daripada mereka (Sharifah) ke tepi manakala seorang lagi melambung tinggi akibat rempuhan. Kereta dan treler itu kemudian terbakar,” ujarnya.
Dakwa Kamaruddin, kejadian itu berlaku selepas 15 minit peronda LPT2 meninggalkan kenderaan yang rosak itu setelah meletakkan kon di bahu jalan sebagai tanda amaran.